Assalamualaikum
Ramai ibu bapa yang bertanya, selain mengaji ada ajar apa lagi ya?
Alhamdulillah. Selain mengaji Al-Quran dan belajar subjek-subjek pendidikan Islam, kami di Kelas Mengaji Al-Isyraq sangat mekankan bab-bab solat. Kami melatih anak-anak menjadi imam dan bilal, menghafaz bacaan dalam solat dengan betul, menghafaz doa-doa selepas solat dan paling penting sikit demi sikit kami cuba perbetulkan cara solat anak-anak pelajar.
Kenapa kami sangat tekankan perihal solat??
Bak kata orang-orang tua, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Mengajar anak-anak solat biarlah bermula dari kecil.
Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim daripada Amir bun Syuaib, Rasulullah s.a.w bersabda;
" Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat apabila mereka sudah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang meninggalkannya apabila berumur sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka"
Memang menjadi satu cabaran untuk mendidik anak kecil solat. Tetapi, kami di sini akan cuba sedaya upaya mendidik anak-anak pelajar untuk belajar solat. Sesusah manapun mengajar mereka untuk solat, kita tidak boleh berputus asa. Pastikan anak-anak kita mula solat sejak mereka kecil lagi. Anak-anak kecil, hati mereka masih lembut dan suci lagi. Masih senang untuk kita bentuk menjadi seorang muslim yang taat.
Namun, dalam mendidik anak-anak untuk mula bersolat, ada beberapa perkara yang harus kita lihat dan tekankan:
1) CONTOH DARI IBU BAPA
Ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan anak-anak. Segala apa yang anak-anak lakukan bermula dari rumah. Kami guru di kelas hanya mampu mengajar mereka, perbetulkan kesalahan mereka. Kami tidak sentiasa bersama mereka. Mereka pasti jadikan perbuatan ibu bapa sebagai contoh perbuatan mereka. Ibu bapa yang rajin bersolat, pasti mampu merangsang anak-anak untuk bersolat. Sebaliknya, jika ibu bapa sendiri sudah liat untuk solat, potensi untuk anak-anak tidak bersolat juga tinggi.
Lakukan solat ditempat terbuka yang boleh dilihat oleh anak-anak. Lebih baik ajak anak-anak solat bersama. Jangan dimarahi mereka jika mereka masih bermain-main ketika sedang solat. Ingatkan kisah cucunda Rasulullah s.a.w Saidina Hassan dan Hussin?? Rasulullah tidak marah mereka walaupun baginda terpaksa sujud lama dalam solat.
Ingat ya ibu ayah, anak-anak sedang perhatikan perbuatan anda. Jadi, tunjuk contoh yang baik pada anak-anak.
2) SOLAT SECARA BERJEMAAH
Sesibuk manapun kita, cuba cari ruang untuk solat berjemaah bersama anak-anak. Dari situ, anak-anak akan ijut perbuatan kita bersolat. Selepas bersolat, ambil sedikit masa untuk bercakap dengan anak-anak. Bagitahu harapan kita supaya anak-anak tidak meninggalkan solat.
3) BELIKAN TELEKUNG KANAK-KANAK, KOPIAH YANG SESUAI DAN SELESA
Belikan telekung yang cantik untuk anak perempuan dan kopiah/songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka sebelum mula solat. Boleh beri sedikit pujian ketika mereka memakai telekung/songkok. Jangan dimarahi mereka andai mereka hanya memakainya sekejap sahaja. Tak apa. Ulangi lagi perbuatan itu. Lama-lama mereka sendiri minta untuk dipakaikan telekung/ songkok.
4) MENGHARGAI DAN MEMBERI PUJIAN
Selepas mereka selesai solat, peluklah anak-anak dan beri sedikit pujian. insya Allah mereka akan rasa gembira dan hendak solat lagi selepas itu :)
5) ISTIQAMAH
YA, Istiqamah. Berterusanlah melakukan perkara-perkara di atas. Sabar kerana kesabaran itu penting dalam mendidikan anak-anak mula solat. Jika rasa putus asa, tarik nafas, dan istighfar. Ingatlah, itu satu jihad agama. Jangan hiarkan putus asa membelenggu kita. Jangan biarkan anak-anak tidak solat. Bimbang nanti bila mereka besar mereka sudah terbiasa dan mereka akan meremehkan solat.
Akhirnya, marilah kita sama-sama amalkan doa dari surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud
" Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat, dan semikian jugalah zuriat keturunanku. wahai Tuhanku!! Perkenankanlah doa permohonanku"
Mudah-mudahan anak-anak menjadi saham terbaik untuk kita di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment