Monday, 2 June 2014

DANA WAQAF PENDIDIKAN AL ISYRAQ


PENGENALAN

Dana Waqaf Pendidikan adalah dana alternatif yang dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai untuk membantu membiayai pendidikan khasnya dalam pendidikan agama. Kesedaran mewujudkan dana ini adalah untuk memberi kesempatan dan peluang kepada pelajar-pelajar yang mempunyai kesungguhan dan minat dalam mendalami agama tetapi mempunyai kendala dari aspek kewangan.

Dana Waqaf Pendidikan juga adalah merupakan kesempatan terbaik dan lahan amal bagi penyumbang-penyumbang yang berkemampuan untuk menyisakan sedikit kelebihan yang mereka ada di jalan Allah.

Asas kepada Wakaf adalah bersumberkan hadis Nabi Muhammad saw (maksudnya):

“Apabila mati sahaja seseorang anak Adam (manusia) maka terputuslah segala 
amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (Wakaf), ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak soleh yang mendoakan kebaikan kepada ibu bapanya.”

Dari huraian hadis di atas, dapat diambil contoh akan aktiviti berasaskan wakaf dimana:

i) ada barangan atau aset atau sesuatu yang di wakafkan
ii) barangan itu dimanfaatkan secara berterusan

Antara contoh aktiviti wakaf dari hadis di atas adalah:

1. Pembangunan Masjid dan juga tempat beribadat
2. Projek saliran air sungai
3. Penulisan mushaf, kitab-kitab yang bermanfaat dan aktiviti pembacaan
4. Pembekalan air perigi, air paip dan seumpamanya
5. Pembangunan pertanian
6. Program pendidikan ilmu yang berguna dan diamalkan
7. Progam pembangunan keluarga bahagia teladan

Jelas bahawa program wakaf amat luas dan tidak terbatas kepada projek “keagamaan” semata-mata tetapi meluas kepada apa-apa aktiviti yag menepati amal yang soleh dan berkepentingan awam. Boleh disimpulkan bahawa aktiviti baik yang berterusan dan mendatangkan manfaat kepada pihak lain adalah dalam ruang lingkup wakaf atau sadaqah jariah.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah 2:177 (bermaksud):
“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebaktian, akan tetapi sesungguhnya kebaktian itu ialah kebaktian orang yang beriman kepada: [1] Allah, [2] Hari kemudian (Akhirat), [3] Malaikat-malaikat, [4] Kitab-kitab, [5] Nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada: [6] Kerabatnya [7] Anak-anak yatim , [8] Orang-orang miskin [9] Musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan [10] (Memerdekakan) hamba sahaya [11] Mendirikan sembahyang, dan [12] Menunaikan zakat; dan [13] Orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan [14] Orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan Mereka itulah orang-orang yang bertakwa.”

OBJEKTIF

1.      Memberi kesempatan dan peluang kepada pelajar-pelajar yang mempunyai minat dan kesungguhan dalam bidang agama tetapi mempunyai kendala dari segi kewangan
2.      Memberi ruang dan kesempatan untuk kita mempraktikal konsep kebersamaan dan saling berbagi
3.      Mewujudkan generasi pelapis negara yang mempunyai nilai-nilai agama dan moral yang tinggi dalam kehidupan sehari-hari

KUMPULAN SASAR

1.      Anak-anak yatim
2.      Pelajar-pelajar yang datang dari keluarga dengan kerterbatasan ekonomi

Pemilihan kanak-kanak ini juga didasarkan kepada kesungguhan dan minat mereka sendiri dalam mendalami agama dengan mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada ibu bapa atau penjaga yang sah.  Di samping itu, pemilihan juga didasarkan kepada komitmen ibu bapa sendiri dalam memastikan kehadiran anak-anak mereka dalam setiap aktiviti yang diadakan oleh kelas pengajian Al Isyraq.

PEMBIAYAAN

            Untuk langkah permulaan, kami merencanakan dana waqaf ini terbahagi kepada dua iaitu :
1.      Dana Waqaf Individu
2.      Dana Waqaf Umum

Dana Waqaf Individu adalah dana yang digunakan untuk membiayai individu yang ditaja, dan ianya bersifat mengikat dan tertakluk kepada tempoh waktu. Yang dimaksudkan di sini adalah, pihak penyumbang terikat kepada jumlah yang tetap untuk satu tempoh yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, biaya bulanan perindividu adalah sebanyak RM40 dan tempoh tajaan adalah selama 6 bulan atau setahun penuh. Setiap pembaharuan tajaan dapat dilakukan sebelum tempoh tajaan berakhir. Selain daripada itu, kami yang bertindak sebagai perantara juga berharap adanya pertemuan di antara pihak penyumbang dan penerima sebagai upaya untuk mengeratkan lagi silaturahmi selain motivasi tambahan kepada pelajar-pelajar tersebut.

Dana Waqaf Umum pula adalah bersifat umum dan tidak mengikat. Jumlah sumbangan adalah tertakluk kepada penyumbang dan tidak ada batas waktu yang tertentu.
  
AHLI PEMEGANG AMANAH

Bagi memastikan kelancaran dana waqaf ini, pihak kami juga melantik pihak ketiga selaku pemantau dana ini. Ini bagi memastikan ketelusan dalam mengagihkan bantuan di samping sebagai penasihat teknikal dalam pemilihan calon pelajar serta pemeriksa kira-kira. Kami berbesar hati melantik Puan Nafizah binti Abdul Malik, Pemilik Pusat Jagaan & Transit Oo Lala, Taman Germuda. Pemilihan beliau berdasarkan kepada pengalaman luas beliau dalam pendidikan awal kanak-kanak peringkat Negeri Perak dan Kebangsaan serta mempunyai visi yang sama dengan kami.


KEWANGAN

Bagi yang berminat ingin mengambil bahagian dalam waqaf pendidikan ini, bolehlah berurusan langsung dengan kami atau terus menyalurkan sumbangan ke akaun :
            Bank                :  Maybank
            No akaun         :  163064128157
            Nama pemilik  :  Siti Maisarah binti Mohd Zukri


KESIMPULAN

Adalah menjadi harapan kami, dengan adanya dana waqaf pendidikan ini dapat memberi lebih banyak peluang pendidikan agama kepada pelajar-pelajar yang memerlukan. Di samping itu, dana waqaf ini juga boleh menjadi saksi tali kasih kita saudara seagama. Semoga apa yang kita kerjakan ini, dipermudahkan Allah SWT.


Pengurus
Kelas Pengajian Al Isyraq
94 Lengkok Kledang Raya Taman Saz, 30100
Ipoh, Perak
05-5262508 / 013-9754238

www.isyraqniaga.blogspot.com

No comments:

Post a Comment